Wednesday 6 July 2011

MATI itu PASTI

Keseronokan hidup di dunia akan tergugat dengan datangnya Izrail yang mencabut roh dari jasad dan berakhirlah segala kenangan mengenai si polan yang dikasihi.

Mati membuktikan kepada manusia bahawa sebenarnya ia tidak pernah memiliki sesuatu pun. Mati juga membangunkan kita daripada angan-angan yang panjang mengenai nikmat hidup yang tak bererti tanpa sifat berkekalan.
Dunia adalah permainan dan kehidupan sebenarnya bermula di akhirat, konsep percaya kepada alam barzakh iaitu hari kebangkitan yang mampu menyedarkan manusia untuk bertanggungjawab dalam menjalani kehidupan.
 Mustahil bagi manusia mengetahui empat hal ghaib iaitu kelahiran dan kematian; rezeki; amal dan kesudahan hidupnya sama ada celaka atau bahagia yang terpatri di luh mahfuz.
Empat rahsia itu tersimpan di bank data ciptaan Allah Yang Maha Mengetahui dengan pengetahuan yang tidak terjangkau oleh akal fikiran manusia biasa kerana manusia dicipta dengan akal fikiran yang terbatas.
 Penerokaan akalnya tak akan dapat menjawab persoalan bilakah kelahiran dan kematian berlaku, supaya ketakutan dan pengharapan kepada Allah sentiasa hadir pada nalurinya yang paling tajam.
Supaya kekuatan iradah menerusi elemen akal, jasmani dan rohani terus bergejolak menyahut seruan Yang Maha Mencipta memandangkan adalah dunia tempat bermujahadah untuk memenangi akhirat.

Ini semua bagi menghasilkan kesedaran bahawa kita semua akan mati sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud: Perbanyakkanlah olehmu mengingat perosak kelazatan, iaitu mati.(Hadis riwayat al-Tirmizi).

Kemampuan untuk mengingati mati adalah sebaik-baik kecerdasan dan kebijaksanaan seseorang.
 Apabila kegembiraan mencurah-curah dari hati, bolehkah kita selitkan peringatan mengenai mati, apabila cita-cita tercapai, kemewahan dikecapi, kebahagiaan tak sudah-sudah, adakah kita ingat esok kita mati dan semua akan musnah?
 Berhasilkah kita menasihati diri sendiri pada saat kelalaian dan lupa daratan?
Sungguh susah kerana kita cenderung kepada tarikan cinta dunia dan takut mati.
Takut mati yang diamalkan oleh kebanyakan manusia akhir zaman ialah tidak bersedia menghadapi kematian dengan persediaan amal salih, leka dengan dosa dan kekotoran yang terpalit pada diri.

Menunda taubat dan menyangka masih banyak kesempatan untuk peluang terakhir padahal setiap hari berlalu tanah di perkuburan memanggil, bahkan mengancam manusia yang degil.

 Rasulullah SAW bersabda: Bahawasanya tidak berlalu satu hari ke atas kubur melainkan kubur berkata (kepada manusia): Akulah rumah pengasingan, akulah rumah persendirian, akulah rumah tanah, akulah rumah yang penuh dengan ulat. Dan apabila dikuburkan orang yang bermaksiat dan orang yang kafir maka kubur berkata kepadanya: Tidak ada ucapan selamat datang bagimu, sesungguhnya engkau adalah orang yang paling kubenci yang berjalan di atasku. Pada hari ini segala urusanmu telah diserahkan kepadaku maka engkau akan lihat betapa aku akan membalas perbuatanmu. Lalu kubur itu menghimpitnya sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya. (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Saat itu penilaian terhadap diri bermula tetapi penyesalan tak merubah apapun, hanya kesedaran betapa ruginya meremehkan nilai sesuatu amal hatta bersedekah dengan sepotong kurma yang boleh menyelamatkan dari api neraka.
 Pada masa itu akan terkenang kita peluang yang tak direbut, saat leka dengan hiburan, kemalasan dan menunda ibadat yang menjadi kebiasaan.
Sebelum kedatangan maut, adakah kita mempunyai impian pada saat akhir kehidupan seperti merancang untuk menikmati kematian dengan tenteram, meninggalkan orang tersayang dengan reda dan paling penting kerinduan untuk bertemu Allah. 

Rasulullah SAW bersabda: Barang siapa yang tidak suka bertemu dengan Allah, sesungguhnya Allah pun tidak suka bertemu dengannya.(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Pertemuan itu adalah pertemuan paling istimewa dengan panggilan istimewa nafs muthmainnah (jiwa yang tenang) dan ajakan yang mulia (kembalilah kepada Rabbmu) bahkan pelawaan yang amat berharga (masuklah ke dalam syurga-Ku). (Surah al-Fajr)

Itulah impian hamba Allah mengenai kematian kerana bagi mereka bahagia bukan hanya ketika masih hidup bahkan di saat akhir pun mesti dilalui dengan perasaan bahagia dan reda. Betapa ruginya mereka yang terperosok masuk ke dalam lubang yang digali syaitan padahal perjalanan panjang yang dilalui sebelum ini dapat dengan mudah dilaluinya tetapi di penghujung jalan mereka terperangkap.

 Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Maka demi Allah yang tiada Tuhan selain-Nya. Sesungguhnya salah seorang kamu mengerjakan amal ahli syurga sehingga tidak ada jarak antaranya dengan syurga melainkan sehasta, kemudian terdahulu ketentuan yang tertulis lalu ia mengerjakan amalan ahli neraka maka masuklah ia ke dalamnya. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Pastikan kita melalui kematian dengan persediaan rapi, amal yang cukup, sebutan dan kenangan yang baik kerana impian kita semua adalah husnul khatimah. 

Subhanallah…Allah Maha Mengetahui…wallahualam.

No comments:

Post a Comment